1. Buat Belanjawan atau Bajet.
Semewah mana pun anda, bajet amat penting sebelum anda memulakan percutian sama ada di luar negara atau di dalam negara. Pada zaman sekarang, boleh dikatakan hampir semua aktiviti percutian memerlukan duit. Walaupun anda bersiar-siar di taman percuma, kenderaan anda juga perlukan minyak dan perjalanan di lebuhraya memerlukan kita membayar tol. Jadi, agar kita tidak tersasar, bajet amat penting dibuat.
Bagaimana caranya? Sudah tentu anda perlu tahu ke mana destinasi anda. Kemudian:
- Senaraikan perkara dan aktiviti yang memerlukan peruntukan kewangan.
- Tuliskan anggaran kewangan setiap aktiviti.
- Sediakan satu ruang perbelanjaan sebenar.
2. Periksa tarikh cadangan percutian.
Percutian sememangnya menyeronokkan namun jika tarikh yang dipilih tidak kena, ia mungkin akan merugikan. Jadi amat penting untuk kita memilih tarikh untuk bercuti. Ada antara kita yang bercuti berdasarkan musim cuti seperti cuti sekolah bagi guru dan pelajar. Musim perayaan atau cuti umum pula sememangnya waktu semua orang bercuti. Namun jika dalam waktu bercuti itu kita ingin melancong ke mana-mana, tarikhnya haruslah sesuai. Contohnya kita tak akan ke pantai sewaktu musim tengkujuh atau laut bergelora. Bagi mereka yang inginkan bersendirian akan elakkan waktu cuti umum dan cuti sekolah untuk percutian yang aman damai tanpa kesesakan. Tarikh juga amat penting untuk menentukan anggaran bajet tambang pengangkutan awam dan penginapan. Biasanya jika bukan waktu puncak, bayaran perkhidmatan tersebut lebih murah.
3. Memohon cuti lebih awal daripada majikan.
Bila dah ada tarikhnya kita perlulah selesaikan kerenah-kerenah birokrasi seperti mengisi borang, maklumkan majikan dan rakan sekerja serta menyusun jadual kerja agar kita dapat bercuti dengan aman damai.
4. Membuat tempahan pengangkutan dan penginapan.
Bila bercuti, biasanya bukanlah terperuk di rumah saja. Kalau kita tidak memandu sendiri sewaktu melancong, mungkin kita mengambil pengangkutan awam seperti bas, kereta api, kapal terbang atau feri. Jadi perlulah membuat tempahan tiket lebih awal begitu juga dengan tempat tinggal atau penginapan.
5. Menentukan barang-barang yang akan dibawa sewaktu melancong.
Selain kain baju dan wang saku, antara barang yang penting dibawa ketika hendak bercuti ialah kamera. Tapi yang paling penting jika kita menaiki pengangkutan awam atau menginap di hotel ialah sudah tentulah tiket yang telah dibeli serta wang secukupnya dalam bentuk tunai atau kad kredit. Bagi yang melancong ke luar negara sudah tentu perlukan passport serta pakaian yang bersesuaian dengan cuaca tempat dituju. Adakalanya perlu juga membawa makanan sendiri kerana kesukaran mencari tempat makan yang halal atau sesuai dengan citarasa kita. Barang juga perlu berdasarkan aktiviti yang akan dilaksanakan. Contohnya jika aktiviti tidur dalam hutan, perlulah khemah dan peralatan memasak ringkas. Kalau bersantai di tepi tasik atau pantai, mungkin joran perlu dibawa bagi kaki pancing.
No comments:
Post a Comment