Dikir Barat merupakan satu persembahan negeri Kelantan, Malaysia yang disampaikan secara berkumpulan. Setiap kumpulan biasanya diketuai oleh seorang Tukang karut dan Tok Juara.
Tukang karut dan Tok Juara akan mendahului nyanyian sambil berbalas-balas pantun dan diikuti oleh awak-awak sebagai suara latar dengan suara yang kuat dan lantang.
Dikir Barat adalah suatu permainan tradisional yang paling digemari oleh masyarakat Melayu di Kelantan. Ianya wujud di kalangan masyarakat biasa di kampung kampung dan pinggir bandar. Di dalam persembahan Dikir Barat terdapat satu kumpulan yang diketuai oleh seorang Tukang karut dan Tok Juara. Mereka akan mengarut sambil berbalas - balas pantun dan diikuti oleh awak awak sebagai suara latar dengan suara yang kuat dan lantang.
Dikir barat ini boleh dipersembahkan sebagai hiburan atau pun dipertandingkan. Permainan ini biasanya dimainkan oleh masyarakat di musim menuai padi dan juga di majlis perkahwinan. Pertandingan selalunya diadakan oleh persatuan-persatuan belia tempatan, badan-badan kerajaan ataupun orang-orang tertentu untuk mengutip wang.
Dikir Barat adalah permainan yang baru jika dibandingkan dengan teater tradisional yang lain. Perkembangannya sukar diatasi kerana ianya sering menerima perubahan dari bentuk persembahannya dari masa ke semasa mengikut perkembangan zaman. Perkataan Dikir ialah hasil dari dua kombinasi seni iaitu Dikir dan pantun atau dikir dan karut. Pengertian "Karut" itu sendiri ialah dari istilah mengarut dalam bentuk pantun atau syair. Jadi Dikir Barat, Dikir Karut, Dikir pantun dan Dikir Syair adalah sama ertinya. Walaubagaimanapun di Kelantan ianya lebih terkenal dengan Dikir Barat dan di Selatan Thai dengan Dikir Karut.
Tarian Saman adalah tarian suku Gayo dari Sumatera, Indonesia, yang biasanya dilakukan untuk merayakan peristiwa-peristiwa penting dalam istiadat mereka. Tarian Saman memanfaatkan syair dalam bahasa Arab dan Gayo. Tarian ini juga dipaparkan untuk merayakan kelahiran Nabi Muhammad.
Tarian Saman biasanya dipaparkan tidak menggunakan iringan alat muzik, tetapi menggunakan suara dari para penari dan tepuk tangan mereka. Tarian juga digabungkan dengan memukul dada dan pangkal paha mereka sebagai penyegerakan, serta dengan melontarkan badan-badan ke segala arah. Para penari pada umumnya terdiri dari laki-laki yang masih muda. Nama tarian "Saman" diperoleh dari salah satu ulama besar Aceh, Syeikh Saman.
Kedua-dua jenis persembahan tradisional tersebut merupakan persembahan yang berbeza.
Perbezaan ketara ialah Dikir Barat mempunyai dua orang ketua nyanyian yang disebut Tok Juara dan Tukang Karut serta persembahan lengkapnya perlu sekurang-kurangnya 3 lagu. Lagu pertama biasanya diambil dari lagu ciptaan sendiri atau lagu popular masa kini yang dikekalkan liriknya atau diubah liriknya mengikut mesej yang ingin disampaikan dalam sesuatu persembahan. Lagu kedua nyanyian Tukang Karut yang biasanya rancak dan liriknya spontan. Manakala lagu ketiga atau lagu terakhir merupakan lagu wajib iaitu lagu Wau Bulan.
Persembahan juga diiringi orkestra muzik tradisional:
Alat-alat muzik dikir barat
1.Sebiji tetawak(gong) tergantung
2.Sebiji rebana ibu
3.Sebiji rebana anak
4.Sepasang marakas(buah rumba)
Persembahan Dikir Barat amat terkenal di Malaysia dan sering menjadi salah satu persembahan wajib di peringkat institusi seperti sekolah, universiti dan acara kebudayaan. Bahasa yang digunakan biasanya loghat Kelantan namun perkembangannya menyaksikan pelbagai bahasa lain turut digunakan.
Pada peringkat institusi ini, adakalanya agak sukar untuk mendapatkan alat muzik tradisional yang sebenar, maka sering alat muzik gantian yang lebih mudah didapati seperti kompang.
Para penggiat Tarian Saman mungkin salah sangka apabila melihat Dikir Barat yang dikatakan menyerupai tarian mereka. Ia sering disalahertikan oleh kedua-dua kumpulan seni terbabit kerana persamaan dari segi tarian duduk penari Tarian Saman dan tarian duduk awak-awak pendikir Dikir Barat. Namun sebenarnya jika dilihat dengan teliti, tarian duduk pendikir tidaklah serancak tarian duduk Penari Saman. Tarian dan tepuk pendikir biasanya lebih mudah dan tidaklah sampai perlu menghayunkan badan ke semua arah seperti Tarian Saman. Pendikir biasanya duduk dalam 2-3 barisan mengikut susunan kreativiti. Namun tidak dinafikan sekiranya pendikir menonton saman atau sebaliknya, kedua-dua kumpulan dapat inspirasi untuk mencantikkan lagi kreografer tarian duduk mereka. Cuma untuk sesuatu kumpulan menyatakan satu tarian meniru tarian lain adalah tidak benar kerana disiplin tarian yang berbeza.
No comments:
Post a Comment