Dah pukul 3 lebih pagi di Malaysia tapi malam ni mata rasa terang benderang lagi. Tadi kebetulan tengok dokumentari tentang kegiatan pengganas yang menyerang kapal terbang.
Pesawat komersil yang tiba-tiba hilang dari radar dan didapati meletup akibat bom yang dipasang di dalam bagasi. Kemudian ada pula kegiatan pengganas yang memasang bom dan meninggalkannya di bawah tempat duduk. Dan yang lebih terkenal tentang kegiatan pengganas berani mati yang meletupkan diri bersama pesawat rampasan mereka sewaktu 11/9.
Banyak yang mati ialah mereka yang tidak bersalah. Penumpang-penumpang yang berbilang kaum dan berbilang negara. Maka langkah keselamatan dipertingkat dengan pelbagai cara.
Namun sayangnya, masih ada cara lain yang berupaya mengelakkan perkara ini. Antaranya ialah sarang tebuan jangan dijolok. Contoh kes yang berlaku bagi pesawat Air India disyaki pengganas agama keturunan Sikh melakukannya akibat balas dendam terhadap tindakan pihak berkuasa ke atas tempat suci mereka. Serangan pengganas seperti Al-Qaedda pula berkaitan isu-isu yang tidak selesai di Asia Barat terutamanya Palestin. Kebanyakan motif akibat balas dendam dan ia tidak akan berkesudahan selagi pemimpin-pemimpin dunia tidak menyedari akan tanggungjawab dan tindakan mereka.
Secara rasionalnya tidak ada orang yang mahu mati dengan meletupkan diri. Bukanlah hendak menyebelahi pihak pengganas. Tetapi pengganas sebenar adalah pemimpin dunia sendiri yang membenarkan keganasan tersebut berlaku. Dari kerusi malasnya mereka seperti bermain catur mengarahkan tenteranya menyerang itu dan ini. Bomnya meletupkan negara itu dan ini. Dananya disalurkan untuk pembangunan tentera yang jelas melanggar undang-undang dunia. Contohnya di Israel. Apabila batu yang dilemparkan hanya mengundang ketawa, jalan terakhir ialah pengebom berani mati.
Sewaktu saya melawat Bali beberapa tahun sudah, saya berkesempatan melihat sisa runtuhan bangunan akibat bom. Motifnya lorong itu adalah lorong maksiat yang dihalalkan oleh pihak berkuasa negara itu yang mengundang kemarahan majoriti penduduknya. Saya dapat lihat pemikiran kumpulan pengganas yang meletupkan bom itu yang merasakan mereka adalah syahid kerana mencegah kemungkaran yang tidak berjaya dicegah pemimpinnya.
Contoh klasik ialah sewaktu Perang Dunia Kedua apabila tindakan Jepun sebagai penjajah baru menyebabkan "pengganas" Amerika menggugurkan 2 butir bom atom yang memusnahkan Hiroshima dan Nagasaki. Sememangnya hikmahnya ialah Jepun menyerah kalah namun bayangkan berapa banyak nyawa dan keluarga dapat diselamatkan selepas gugurnya bom pertama. Maka tidak hairanlah 2 menara dunianya runtuh semuanya atas kuasa tuhan mungkin akibat karma keganasannya selama ini.
Seperti pesan ratu cantik seluruh dunia..."World Peace" katakan dan kotakan.
No comments:
Post a Comment