Monday, December 26, 2011

Cerita Tentang Penjual Tempe

Assalamualaikum,

Seperti yang dijanjikan sebelum ni, saya akan mula cerita saya dalam siri bersangka baik dengan Allah melalui kisah tentang penjual tempe. 

Cerita ini saya dapat secara online juga. Namun saya rasa menarik untuk dikongsi bersama terutama bagi yang tak pernah dengar kisahnya. 

Ceritanya begini. Di satu daerah terdapat seorang penjual tempe. Pada hari itu, tempenya lambat menjadi dan tidak sesuai untuk dijual. dia membawa juga ke pasar dengan harapan tempenya sedia untuk dijual tetapi beberapa kali dia lihat barang jualannya masih belum sesuai untuk dijual sedangkan penjual-penjual bersebelahannya sudah pun laku tempe-tempe mereka. Dia berdoa agar tempenya sedia supaya boleh segera dijual namun beberapa kali dilihat tempenya hari tu masih tidak menjadi. Orang yang lalu lalang melihat tempenya juga sering tak jadi membeli apabila mendapati keadaan tempenya itu. 

Namun diringkaskan cerita sedang dia berdoa agar tempenya menjadi agar boleh dijual, ada pula seorang pelanggan yang sedang mencari-cari tempe yang belum menjadi. Pelanggan itu berkata kalau dia ada tempe-tempe separuh jadi tu, Dia sanggup borong kesemuanya kerana ia untuk anaknya yang belajar di luar negeri. Oleh kerana hendak dikirim jauh, tempe yang dicari ialah yang separuh jadi. Secara tiba-tiba si penjual tempe yang selama ni berdoa agar tempenya menjadi berharap dan berdoa pula agar tempenya tidak menjadi. 

Ya, ternyata ia rezeki penjual tempe itu kerana Allah tidak perkenankan doa awalnya agar tempenya menjadi kerana Allah merancang yang lebih baik untuknya. Penjual tempe lain bersebelahannya mendapat ganjaran jualan harian biasa, bagi penjual tempe yang tempenya tak menjadi ini, dia berjaya menjual semua tempe-tempenya meskipun belum layak untuk dijual pada pembeli biasa.

Jadi pengajaran cerita hari ini ialah sekiranya ada doa anda yang belum diperkenankan Allah, yakinlah Allah merancang sesuatu yang lebih baik untuk anda. Jika situasi anda hari ni tidak baik bagi anda, siapa tahu sebenarnya ia baik seperti mana yang dihadapi oleh penjual tempe tersebut. Semoga kisah ini memberi sinar baru kepada anda. 
 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...